Cinta Allah itu diraih dengan mujahadah. Jangan cepat mendakwa bahagia jika usia perkahwinan baru memasuki tahun ke lima, ke enam atau kurang daripada itu. Tabah itu tidak dicapai hanya dengan kata-kata yang disulam oleh al Quran dan Al Hadis. Atau oleh sajak dan ungkapan yang indah dan puitis. Bukan. Tabah itu ditempa oleh keperitan mujahadah, pengorbanan perasaan dan sikap memberi yang tiada batasan… Jangan mengaku beriman jika belum diuji. Jangan mendakwa bahagia, jika belum banyak menderita… kerana bahagia itu ditempa oleh derita!
“Cemburu itu fitrah. Itu tanda ada cinta. Selagi dalam batas-batas syariat, selagi itulah cemburu itu selamat. Jangan pinta hidup yang mudah, tapi pintalah hati yang tabah untuk menghadapinya!”
Hidup adalah untuk diuji. Ujian itu tidak akan ada hentinya. Selagi kita diuji, selagi itulah kita masih hidup. Jadi bersyukurlah… Ujian itulah jalan untuk kita mengenal Allah. Allah ‘memperkenalkan’ Dirinya di sebalik semua ujianNya. Pada ujian sakit, Allah kenalkan Dirinya yang Maha Penyembuh. Pada ujian miskin, Allah perkenalkan diriNya yang Maha Kaya. Pada ujian fitnah, Allah sedang memperkenalkan diriNya yang Maha Penyabar…
Tidak ada hari tanpa diuji, kerana atas hukum itulah kita hidup dan mati. Semoga dengan itu kenal kita kepada Allah makin tinggi… dan akhirnya, cinta kita kepadaNya pun semakin meningkat.
Ujian, membuktikan bahawa di sebalik kuasa diri yang sering kita fokuskan ini, ada kuasa Allah yang Maha Berkuasa di atas segala kuasa. Ke situlah perjalanan hati ini sewajarnya dipacu. Sentiasa bersangka baik bukan hanya bermakna yang baik-baik akan berlaku dalam hidup ini, tetapi hati kita diberi kekuatan untuk menghadapi ‘sesuatu yang tidak baik’ dengan hati yang baik.
Apabila berlaku sesuatu yang tidak diduga, tidak disangka, tidak dipinta… jangan kecewa, marah apalagi mencela. Tetapi tanyakanlah diri, apakah maksud baik Allah di sebalik semua itu. Dengarlah ‘bisikan’ tarbiah Allah di sebalik segala mehnah (ujian). Allah tidak akan menzalimi kita. Ujian itu penting, tetapi bagaimana kita menghadapinya jauh lebih penting.
Dalam hidup, peganglah prinsip ini untuk bahagia. Prinsip yang dipegang oleh Nabi Muhammad SAW dalam apa jua ujian yang melanda… “aku hamba Allah, Dia tidak akan mengecewakanku!”
”Ya Allah, berikanlah cintaMu kepada ku dan jadikanlah aku mencintai orang yang mencintaiMU dan mencintai segala sesuatu yang membawa kepada kecintaanMu. “
“Allah takdirkan segala-galanya untuk kita kembali kepadaNya”
Pernah diungkapkan, tidak mengapa jika kaki mu yang sakit, asalkan hati mu sihat. Dengan kaki yang sakit, kita mungkin tidak boleh berjalan. Tetapi dengan hati yang sakit kita akan kehilangan tujuan dan harapan. Betapa ramai, orang yang punyai fizikal yang sihat, tetapi apabila hatinya sakit, hidupnya melarat. Dia menjadi insan yang miskin dalam limpahan kekayaan. Hidup derita walaupun di kelilingi keseronokan.
Uzlahkan diri jika terasa mata dan telinga terlalu liar untuk ditundukkan. Tersenyumlah dengan penghinaan. Redhalah dengan kesepian. Jangan takut kepada kelicikan, tipu-daya dan kezaliman. Hayatilah sebuah sabda, jika kita menjaga Allah, Allah akan menjaga kita. Tidak mengapa jika dipinggirkan, malah dilupakan… kerana selamanya orang lain tidak akan tahu, betapa lapang dan bahagianya apabila memiliki hati emas itu!
Gunakanlah prinsip: Ujian hidup adalah satu didikan langsung daripada Tuhan, insya-Allah, kita akan dapat kekuatan dan ketenangan dalam menghadapi hidup ini. Talian hayat kita akan sentiasa “tersambung” dengan Tuhan. Percayalah, Allah mendidik kita melalui kesusahan, kesenangan, pujian mahupun cercaan.
Kemaafan akan membuahkan kebaikan… Manakala kebencian akan membuahkan kejahatan. Belajarlah menyayangi, nescaya kita akan menjadi semakin jahil tentang kebencian dan permusuhan.
Terima kasih ustaz untuk perkongsian
http://genta-rasa.com/2012/11/30/andainya-hartawan-itu-tahu/
No comments:
Post a Comment