Tuesday, November 12, 2013

Nasihat Lukman Al-Hakim Kepada Anaknya

1 – Wahai anakku, elakkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu akan menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.

2 – Wahai anakku, sekiranya ibubapa mu marah kepadamu kerana kesilapan yang telah kamu lakukan, maka kemarahan ibubapamu adalah seperti baja untuk menyuburkan tanam tanaman.

3 – Wahai anakku, jika kamu mahu mencari kawan sejati, maka ujilah dia terlebih dahulu dengan berpura pura membuatkan dia marah padamu. Sekiranya dalam kemarahan itu dia masih mahu menasihati dan menginsafkan kamu, maka bolehlah kamu mengambil dia sebagai kawan. Jika berlaku sebaliknya maka berwaspadalah kamu terhadapnya.

4 – Wahai anakku, bila kamu mempunyai teman karib, maka jadikanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Sebaliknya biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.

5 – Wahai anakku, jagalah dirimu supaya tidak terlalu condong kepada dunia dan hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana kamu diciptakan Allah bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunia.

6 – Wahai anakku, janganlah kamu ketawa jika tiada sesuatu yang menggelikan, janganlah kamu berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah kamu bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia siakan harta mu pada jalan maksiat.

7 – Wahai anakku, sesiapa yang bersifat penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada mengeluarkan perkataan yang sia-sia, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu dia akan menyesal kelak.

8 – Wahai anakku, bergaullah dengan orang yang soleh dan berilmu. Bukalah pintu hati mu dan dengarkanlah segala nasihat dan tunjuk ajar darinya. Sesungguhnya nasihat dari mereka bagaikan mutiara hikmah yang bercahaya yang dapat menyuburkan hatimu seperti tanah kering lalu disirami hujan.

9 – Wahai anakku, sesungguhnya dunia ini bagaikan sebuah kapal yang belayar di lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Jika engkau ingin selamat, maka belayarlah dengan kapal yang bernama ‘taqwa’, isinya ialah ‘iman‘ dan layarnya adalah ‘tawakkal kepada Allah’.

10 – Wahai anakku, jika kamu mempunyai dua undangan majlis, iaitu majlis takziah kematian atau majlis perkahwinan, maka utamakanlah majlis kematian, kerana ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri majlis perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada keseronokan duniawi sahaja.

11 – Wahai anakku, janganlah kamu terus menelan apa sahaja yang kamu rasa manis janganlah terus meludah sahaja apa yang kamu rasa pahit, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kelemahan.

12 – Wahai anakku, janganlah kamu makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya adalah lebih baik jika bahagian dari yang kenyang itu diberikan kepada anjing sahaja.

13 – Wahai anakku, janganlah kamu menjadi lebih lemah dari seekor ayam jantan, kerana ia telah berkokok pada waktu pagi hari sedangkan kamu pada waktu itu masih terbaring di atas katilmu.

14 – Wahai anakku, jangan kamu melantik seseorang yang bodoh menjadi utusanmu. Jika tiada siapa yang lebih cerdas, pintar dan bijak maka sebaiknya dirimu sendirilah yang menjadi utusan.

15 – Wahai anakku, orang yang bersedia untuk mendengar nasihat dan bimbingan dari orang yang lebih alim, maka dia layak untuk mendapat penjagaan dari Allah tetapi bagi orang yang insaf setelah menerima teguran maka dia lebih layak untuk mendapat kemuliaan dari Allah.

16 – Wahai anakku, orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada Allah, maka dia tawadduk kepada Allah, dia akan lebih dekat kepada Allah dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada Allah.

17 – Wahai anakku, seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.

18 – Wahai anakku, kamu telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu, adalah bilamana kamu mempunyai jiran yang jahat.

19 – Wahai anakku, jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.

20 – Wahai anakku, bukanlah satu kebaikan namanya bila mana kamu selalu mencari ilmu tetapi kamu tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.

21 – Wahai anakku, jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya yang akan mendatangkan cela pada dirimu.

22 – Wahai anakku, ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.

23 – Wahai anakku, apabila kamu menghampiri kediaman sesuatu kaum, ucaplah salam. Kemudian duduklah ditempat yang telah disediakan oleh mereka. Jangan mulakan perbualan sehingga mereka mulakannya. Sekiranya mereka suka berzikir maka sertailah mereka, jika sebaliknya maka jauhilah mereka dan sertailah kelompok lain.

24 – Wahai anakku, bertakwalah kepada Allah, orang lain tidak akan tahu engkau takut kepada Allah s.w.t hanya untuk dihormati, sedangkan hatimu menyimpang daripada kebenaran.

25 – Wahai anakku, janganlah engkau terlalu menyayangi orang jahil kerana dia akan menganggap kamu bersetuju dengan perbuatannya. Janganlah engkau menghina sesuatu yang dibenci oleh orang bijaksana kerana dia akan terus meninggalkanmu.

26 – Wahai anakku, ketahuilah bahawa kekuasaan berada pada mulut orang-orang yang bijaksana. Mereka tidak berkata-kata melainkan dengan apa yang dikurniakan Allah s.w.t

27 – Wahai anakku, janganlah engkau menyesal kerana berdiam sahaja. Sesungguhnya percakapan itu berharga perak, sedangkan berdiam diri berharga emas.

28 – Wahai anakku, hindarilah dirimu daripada kejahatan, nescaya ia akan menjauhimu. Sesungguhnya kejahatan itu untuk sejahat-jahat makhluk.

29 – Wahai anakku, pilihlah majlis-majlis yang mengingati Allah, sertailah mereka, sekiranya engkau seorang yang berilmu engkau dapat memanfaatkan ilmumu. Sekiranya engkau seorang yang bodoh mereka akan mengajarmu. Allah akan merahmatimu dan juga mereka. Wahai anakku janganlah engkau menyertai majlis-majlis yang tidak mengingati Allah, sekiranya engkau seorang yang berilmu, engkau tidak dapat memanfaatkannya. Sekiranya engkau seorang yang bodoh, engkau akan bertambah bodoh. Allah akan murka kepadamu dan kepada mereka.

30 – Wahai anakku, janganlah engkau makan makanan yang tidak bersih. Bermesyuaratlah dalam urusanmu yang berbentuk ilmu.

31 – Wahai anakku, janganlah beriri hati dan tanding menandingi kerana ia meluaskan medan pertumpahan darah orang yang beriman. Pertumpahan darah dianggap oleh Allah sebagai pembunuhan, bukan kematian.

32 – Wahai anakku, sesungguhnya kebijaksaaan itu meletakkan orang miskin pada taraf raja-raja.
33 – Wahai anakku, hendaklah kamu ingat kebaikan orang dan lupa kejahatan orang. Dan hendaklah kamu lupa kebaikan kamu terhadap orang dan ingatlah kejahatan yang kamu lakukan kepada orang.


Petikan ayat2 Al-Quran
1 – “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: “Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan (Allah) sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.” Surah Luqman : Ayat 13

2 – “Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah kembalimu. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu, maka Ku-beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” Surah Luqman : Ayat 14 – 15

3 – “(Luqman berkata): “Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya Allah akan mendatangkannya (membalasinya). Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui. ” Surah Luqman : Ayat 16

4 – “Hai anakku, dirikanlah shalat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).

Dan janganlah memalingkan muka dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.

Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai. “ Surah Luqman : Ayat 17 – 19

No comments:

Post a Comment

Al-Fatihah buat suami tercinta

13hb March 1967 - 17hb February 2019